JOHOR BAHRU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menahan empat kenderaan e-hailing berdaftar di Singapura kerana membawa penumpang tanpa permit sah.
Operasi khas itu dilaksanakan sejak 9 Ogos lalu di sekitar bandar raya ini.
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata kenderaan terbabit terdiri daripada Toyota Alphard, Toyota Vellfire, Toyota Hiace dan Honda Spada.
Beliau menyatakan kenderaan itu dipandu warga Singapura dan membawa penumpang dari republik itu serta negara lain.
“Pemeriksaan mendapati kenderaan ini tiada lesen pengendali sah, tidak berdaftar sebagai kenderaan awam dan tiada cukai jalan Malaysia,” katanya.
Kesemua kenderaan disita mengikut Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010).
Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 16(1) akta sama kerana mengendalikan perkhidmatan awam tanpa lesen.
“Tiada kompromi untuk kenderaan e-hailing haram di Malaysia. Proses lucut hak akan dilakukan di mahkamah,” tegas Aedy Fadly.
Pemandu terbabit mempromosikan perkhidmatan melalui media sosial, WhatsApp dan pelekat kenderaan.
Caj perjalanan Singapura-Johor Bahru dilaporkan mencecah SGD180 (RM591) seorang.
Manakala perjalanan ke Ipoh direkodkan sehingga SGD1,200 (RM3,946) bagi satu perjalanan.
Operasi berterusan akan dilaksanakan bagi membanteras aktiviti tidak bertanggungjawab.
“Kami akan perluas operasi ke negeri lain bagi memastikan keselamatan penumpang dan integriti sistem pengangkutan,” jelasnya.
Orang ramai digesa melaporkan aktiviti haram melalui MyJPJ e-Aduan atau e-mel aduantrafik@jpj.gov.my. - Bernama