GEORGE TOWN: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang telah mengambil sampel haiwan mati yang dipercayai diracun dengan sengaja di kawasan Bukit Bendera.
Sampel tersebut dihantar ke makmal untuk analisis lanjut.
Pengarah JPV Pulau Pinang, Dr Saira Banu Mohamed Rejab, berkata siasatan sedang dijalankan untuk mengesan punca kematian haiwan tersebut.
“Kesemua sampel dihantar ke makmal untuk tindakan selanjutnya, termasuk mengesan sama ada terdapat racun atau bahan berbahaya lain,“ katanya.
Menurut beliau, kejadian ini dilaporkan berlaku pada 5 Julai. Karkas haiwan tersebut sudah mengalami autolisis dan tidak sesuai untuk dibedah siasat, namun sampel tetap diambil untuk analisis.
“Tiada bahan lain ditemukan di lokasi kerana kawasan tersebut telah dibersihkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP),“ jelasnya.
Semalam, Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) memaklumkan terdapat haiwan seperti anjing, kucing, dan burung ditemukan mati di kawasan tersebut, dipercayai akibat termakan makanan beracun. - Bernama