TANAH MERAH: Program Jualan Agro MADANI bukan sahaja menawarkan barangan pada harga murah berbanding pasaran malah memberi rezeki berganda kepada peniaga.
Roslan Shamsudin, 47, yang membuka gerai jualan di Pasar Tani Tanah Merah di sini berkata beliau berjaya menjual 200 kilogram (kg) ikan selayang dalam tempoh dua jam hari ini.
“Saya ambil inisiatif menjual ikan selayang pada harga RM8 sekilogram berbanding harga biasa RM10 sekilogram.
“Selain ikan selayang, ikan tamban beluru dan ikan kerisi turut mendapat sambutan ramai kerana pada program hari ini pelanggan dapat jimat RM2 hingga RM3 sekilogram berbanding harga pasaran,“ katanya ketika ditemui Bernama hari ini.
Mengulas lanjut, Roslan berkata Program Jualan Agro MADANI bukan sahaja berjaya meringankan beban rakyat malah membantu golongan peniaga.
“Peniaga dapat tingkatkan pendapatan menerusi program jualan seperti ini.
“Saya sendiri sudah beberapa kali terpilih untuk terlibat dengan program ini dan diharapkan diadakan berterusan,“ katanya.
Turut senada, peniaga ikan Muhd Saiful Deraman, 35, yang memaklumkan pelanggan sudah beratur seawal 7 pagi meskipun gerainya hanya dibuka satu jam selepas itu.
“Hari ini saya bekalkan 200 kg ikan selayang untuk dijual dengan harga RM8 kg berbanding RM10 kg.
“Alhamdullilah habis dijual dalam tempoh dua jam memandangkan program ini dibuat di kawasan strategik dan hujung minggu kerana ramai orang datang untuk membeli barang keperluan,“ katanya.
Bagi suri rumah Siti Nur Norida Abdul Rahman, 33, program terbabit sangat membantu meringankan perbelanjaan terutamanya dalam keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini.
“Dengan adanya jualan ini setidak-tidaknya penjimatan yang diperolehi boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas lain,“ katanya.-Bernama