• 2025-06-26 02:49 PM

KUALA LUMPUR: Lebih 150 siri program Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU) yang dijalankan di 128 lokasi seluruh negara berjaya mencatatkan nilai jualan hampir RM10 juta sejak dilancarkan pada 2022. Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata inisiatif ini sejajar dengan aspirasi Kerangka Ekonomi MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat.

“Dalam tempoh sama, Program Pembangunan Kapasiti dan Keupayaan Vendor (PPKV) mencatatkan hasil jualan RM1.23 bilion melibatkan 108 vendor. Tahun lepas sahaja, KUSKOP melaksanakan 204 program memberi manfaat kepada hampir 800,000 usahawan, PMKS, koperasi, dan peniaga kecil,“ katanya semasa Majlis Peluncuran Inisiatif Belanjawan 2025 SME Bank.

Ewon turut menyatakan bahawa KUSKOP berjaya menaik taraf dan membina 98 premis Tamu Desa di Sabah dan Sarawak dengan peruntukan RM19 juta. Beliau menegaskan komitmen kementerian dalam memperkasa usahawan selaras dengan Dasar Keusahawanan Negara (DKN) 2030.

Mengenai Inisiatif Belanjawan 2025 SME Bank, Ewon berkata ia membuktikan peranan institusi kewangan pembangunan seperti SME Bank dalam menyokong agenda Kerajaan MADANI. “Ini memastikan setiap peruntukan Belanjawan 2025 memberi impak langsung kepada usahawan,“ ujarnya.

SME Bank sebelum ini mengumumkan pelancaran inisiatif strategik bernilai RM211 juta bagi menyokong Kerangka Ekonomi MADANI.