KUALA LUMPUR: Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) menggesa kerajaan supaya melaksanakan pengharaman menyeluruh terhadap rokok elektronik (vape) bagi menangani peningkatan kes mudarat kesihatan dan jenayah terancang.
Setiausaha Agung MCTC Muhammad Sha’ani Abdullah berkata langkah awal seperti pengharaman promosi perlu dilaksanakan segera meskipun pengharaman penuh memerlukan masa.
Beliau menekankan bahawa Akta 852 (Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2024) telah menyediakan asas kukuh untuk mengawal iklan dan jualan vape, termasuk produk mengandungi bahan terlarang.
“Apabila iklan vape disiarkan secara terbuka, masyarakat mungkin menganggap ia dibenarkan.
“Pengharaman di kedai fizikal mungkin perlukan masa, tetapi iklan di papan elektronik atau lebuh raya boleh dihentikan dengan segera,” katanya dalam sidang media sempena Hari Menentang Penyalahgunaan Dadah dan Pemerdagangan Haram Sedunia.
Beliau turut membangkitkan kes pelajar sekolah yang khayal akibat menghisap vape mengandungi dadah, seperti kes di Perlis di mana seorang pelajar terjatuh dari bumbung sekolah.
Muhammad Sha’ani menegaskan kerajaan tidak perlu berunding dengan industri vape kerana ia hanya menguntungkan satu pihak sambil memudaratkan kesihatan awam.
Beliau juga menyatakan komitmen Malaysia untuk mencapai ‘Tobacco Endgame 2040’ perlu diperluas kepada pengharaman vape.
“Ini bukan sekadar perniagaan, ia ancaman kesihatan,” tegasnya.