SHAH ALAM: Polis menerima tujuh laporan berhubung kejadian beberapa kenderaan yang diparkir di tepi jalan berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Glenmarie dilanggar sebuah lori, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku sekitar 2.10 petang apabila pemilik kenderaan meletakkan kenderaan mereka di tepi jalan untuk menggunakan perkhidmatan LRT ke tempat kerja.
“Pemilik hanya menyedari kenderaan mereka telah dilanggar oleh sebuah kenderaan yang dipercayai kenderaan berat sejurus pulang dari tempat kerja,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehingga 4.00 petang Khamis, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam telah menerima tujuh laporan polis berkaitan kejadian tersebut.
Pegawai penyiasat kes sedang mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kawasan berhampiran bagi mengenal pasti kenderaan terlibat. Kes ini disiasat di bawah Kaedah 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat BSPT, Inspektor Abdul Nasser Peping di talian 012-2863875 bagi membantu siasatan.
Sebelum ini, tular di media sosial rakaman kemalangan melibatkan beberapa kenderaan yang dipercayai berlaku berhampiran Stesen LRT Glenmarie.