• 2025-09-13 09:28 AM

HONG KONG: Cabaran pemain perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao di Terbuka Hong Kong 2025 terhenti di peringkat suku akhir selepas tewas kepada pilihan kedua kejohanan dari China Li Shi Feng.

Pemain ranking ke-23 dunia itu memberikan tentangan sengit sebelum akur tewas 20-22, 21-14, 20-22 dalam perlawanan selama sejam 18 minit di Hong Kong Coliseum.

Kekalahan itu merupakan rekod keenam buat Jun Hao dalam tujuh pertemuan dengan Shi Feng setakat ini.

Shi Feng akan berdepan pemain Perancis Christo Popov dalam separuh akhir kejohanan esok.

Beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin turut tersingkir di suku akhir selepas tewas kepada pilihan kedua China Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping 16-21, 10-21. – Bernama