• 2025-08-05 01:39 PM

KOTA KINABALU: Kad Pekerja MADANI kini menawarkan diskaun antara lima hingga 10 peratus bagi pembelian rumah di Sabah kepada pemegang kad yang ingin memiliki kediaman pertama.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata tiga pemaju perumahan telah menyertai inisiatif ini dengan menawarkan diskaun khas untuk pemegang Kad Pekerja MADANI di Sabah.

“Pemegang kad akan mendapat potongan 10 peratus daripada Naparan Ria Sipitang yang memiliki lebih 70 projek perumahan baharu di seluruh Sabah. Manakala, potongan lima peratus ditawarkan oleh syarikat Roslan Hj Betaan dan syarikat Fazri Aspar bagi rumah teres dan apartmen,“ jelasnya.

Beliau turut menyatakan bahawa Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang bekerjasama dengan lebih 100 rakan strategik di Sabah bagi memperluas manfaat kad ini.

Selain perumahan, pemegang Kad Pekerja MADANI juga menikmati diskaun 10 hingga 30 peratus daripada Mydin bagi produk bukan makanan seperti pakaian dan keperluan harian. Potongan lima hingga 15 peratus turut ditawarkan untuk alat tulis, pakaian sekolah, dan peralatan sukan oleh beberapa syarikat seperti Knowledge Book Sandakan dan Fat Hing.

Dalam sektor pelancongan, diskaun lima hingga 10 peratus untuk penginapan disediakan oleh rakan strategik seperti Mensari Enterprise, Sulap Penginapan, dan Hentian Budaya.

Sim berkata Kad Pekerja MADANI yang dilancarkan pada 1 Mei lalu kini disokong oleh 210 rakan strategik di seluruh Malaysia, termasuk 21 syarikat dari Sabah. - Bernama