PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjadikan hasil Kajian Mengenai Rasuah di Malaysia (MaCoS) 2024 sebagai asas penting dalam merancang langkah menyeluruh membanteras rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki menyatakan kajian itu akan diteliti oleh bahagian utama SPRM melalui tiga strategi teras iaitu operasi, pencegahan, dan pendidikan.
“Pelaksanaan kajian ini adalah salah satu inisiatif SPRM untuk menilai pencapaian selama 58 tahun dalam memartabatkan agenda antirasuah.
“Ia akan menjadi rujukan bagi semua pihak serta membantu penambahbaikan pelan pencegahan rasuah,“ katanya dalam kenyataan selepas menghadiri sesi pembentangan laporan kajian MaCoS di Putrajaya hari ini.
Beliau menekankan perlunya pendekatan berterusan bagi memastikan strategi pencegahan rasuah dilaksanakan secara konsisten dan berkesan, termasuk melalui kempen pendidikan yang lebih efektif kepada masyarakat.
Azam turut menyatakan bahawa penemuan utama kajian akan dibentangkan kepada Mesyuarat Jawatankuasa Tatakelola (JTK) dan Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN).
Kajian ini juga berfungsi sebagai pelengkap kepada Indeks Persepsi Rasuah dengan memberikan gambaran sebenar situasi rasuah di Malaysia.
Kajian MaCoS 2024 merupakan hasil kerjasama antara Jabatan Perangkaan Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia Pakarunding Sdn Bhd.
Azam menambah bahawa SPRM bersetuju dengan syor kajian tersebut dan bersedia meneroka pendekatan baharu seperti penggunaan kecerdasan buatan (AI) serta pendigitalan bagi mencapai visi Malaysia bebas rasuah.