PUTRAJAYA: Kajian mengenai potensi serta kebolehlaksanaan penghasilan daging kultur sebagai sumber alternatif daging akan dilaksanakan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi universiti bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Institut Bioteknologi Kebangsaan (NIBM).

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (JKSMN) Bil 1/2024 yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

“Sesi mesyuarat turut memberi tumpuan bagi memperkasakan keterjaminan makanan negara menerusi pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi seperti pelaksanaan Projek Ladang Tenusu Chuping usaha sama FGV, Touch Group dan Baladna.

“ (serta)...cadangan hala tuju dan pembangunan ekosistem industri tanaman bawang tempatan menerusi sokongan kewangan untuk pembangunan infrastruktur serta sokongan di sepanjang rantaian pengeluaran bawang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Turut hadir pada mesyuarat itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Semalam, Anwar dalam hantaran di Facebook berkata kerajaan komited dengan pembangunan ekosistem industri tanaman serta pengadaptasian teknologi dan meneroka potensi makanan masa depan seperti daging kultur, hasil daging kultur selain makanan berasaskan sel, yang perlu didahului dengan kajian menyeluruh bagi memastikan tahap kualiti dan keselamatan makanan adalah terjamin.

Mohamad berkata turut dibincangkan ialah Pembangunan Indikator Keterjaminan Makanan Malaysia, pelaksanaan Protokol Fitosanitari Pengeksportan Buah Durian Segar dari Malaysia ke China serta pelaksanaan Kajian Blueprint Sekuriti Makanan Negara.

Menurut Mohamad, mesyuarat JKSMN antara lain mengetengahkan aspirasi kerajaan dalam merangka dasar dan strategi keterjaminan makanan agar lebih berdaya saing dan lestari bagi memastikan kestabilan dan kemampanan keterjaminan makanan negara.

Beliau berkata mesyuarat turut membincangkan kaedah penanaman masa hadapan menerusi pembangunan kilang tanaman sebagai usaha menyokong pertumbuhan industri berasaskan penggunaan teknologi bernilai tinggi.

Susulan itu katanya, penyeragaman dan penyediaan Garis Panduan Perancangan Kilang Tanaman (GPP KiTa) yang komprehensif telah diutarakan dalam mesyuarat itu yang bertujuan meningkatkan ekosistem serta produktiviti hasil tanaman negara.

“Selaras dengan hasrat membangun Malaysia MADANI, ikhtiar secara bersepadu dan holistik amat mustahak dalam mendokong pelaksanaan inisiatif keterjaminan makanan,” katanya.

Beliau berkata semua pihak bertanggungjawab memastikan tahap keterjaminan makanan negara diperkukuhkan seiring dengan konsep Keterjaminan Makanan Adalah Tanggungjawab Bersama.