MELAKA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun mengalami kecederaan di kepala dan lebam pada tangan kiri dipercayai dipukul oleh bapanya di sebuah rumah di Taman Cheng Baru, Melaka pada Rabu lepas.
Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit, ibu mangsa yang berusia 38 tahun telah membuat laporan di Balai Polis Tanjung Minyak pada pukul 9.11 malam.
“Pengadu yang juga seorang guru tuisyen memaklumkan pada hari kejadian kira-kira 10.30 malam dia pulang ke rumah dan mendapati kepala anaknya telah berbalut,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Christopher menambah bahawa suami pengadu mengaku memukul mangsa kerana kanak-kanak itu didakwa berbohong.
Ibu mangsa mengambil tindakan membuat laporan polis bagi melindungi keselamatan anaknya dan merujuk perkara itu kepada pihak berkuasa.