BALING: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun maut selepas dihempap runtuhan dinding rumah yang sedang dalam proses pembinaan, ketika bermain bersama adiknya di rumah mereka di Kampung Padang Lalang, Tawar dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Baling Supt Shamsudin Mamat berkata ketika kejadian kira-kira 12.30 tengah hari itu, mangsa Wan Abdul Aziz Wan Mohd Sholehhuddin dan adiknya, Wan Mohd Baihaqi, 4, sedang bermain di bahagian belakang dapur rumah yang dalam proses pembinaan.

“Ibu mangsa yang sedang memasak di dapur telah beberapa kali memberi amaran dan menasihatkan kedua-dua anaknya agar tidak bermain di kawasan itu namun mereka tidak mengendahkan arahan ibunya.

“Lebih kurang 10.30 pagi, ibu mangsa mendengar bunyi kuat dari tempat anak-anaknya bermain dan mendapati mereka telah ditimpa bata-bata dinding... adik mangsa hanya mengalami cedera ringan,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsudin berkata ibu mangsa kemudian meminta bantuan jiran terdekat untuk menghantar kedua-dua anaknya ke Klinik Kesihatan Tawar serta memaklumkan mengenai kejadian itu kepada suaminya yang ketika itu berada di tempat kerja di Kulim.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Tawar dan mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001,“ katanya. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image