PUTRAJAYA: Soal ancaman kedaulatan negara tidak timbul susulan dua kapal tentera laut China berlabuh di Pulau Pinang, kata Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil.
Beliau berkata kapal perang dari negara lain seperti Australia, Amerika Syarikat, China, India dan dari destinasi lain akan berlabuh di pelabuhan Malaysia, namun semuanya mengikut protokol yang dikendalikan Wisma Putra dan dalam pengetahuan Kementerian Pertahanan.
“Memang dari semasa ke semasa, kapal perang dari Australia, Amerika Syarikat, China malah dari India memang akan berlabuh. Sering kali menuju satu destinasi lain dan akan berlabuh untuk beberapa hari.
“Dalam waktu mereka (kapal) berlabuh itu biasanya kedutaan atau pewakilan asing bagi negara tersebut akan berhubung untuk melakukan beberapa aktiviti dan niatnya adalah untuk mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara,“ katanya kepada media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengarah Urusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
Fahmi berkata beliau kesal dengan sikap segelintir warganet yang cuba menggunakan sentimen perkauman dan kebencian dalam isu berkenaan.
“Polis dan MCMC meneliti perkara ini dan akan mengambil tindakan kepada mereka (warganet) terutama yang menyebarkan maklumat palsu bukan hanya lawatan (kapal perang) tapi sebarang perkara sekalipun,“ katanya.
Beliau berkata ada dalam kalangan netizen juga cuba memaparkan perkara tidak benar berhubung kehadiran kapal tentera China.
“Kita mempunyai hubungan diplomatik yang baik dengan sejumlah negara dan semua negara ini, sekiranya kapal-kapal perang mereka berlabuh sementara di pelabuhan-pelabuhan Malaysia (adalah) mengikut protokol sedia ada,“ katanya.
Semalam, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang Wong Hon Wai dilaporkan meminta orang ramai tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung kunjungan dua kapal tentera dari China bersama pelajar Naval University of China ke Pelabuhan Pulau Pinang, Sabtu lepas.
Pengerusi Biro Antarabangsa Bersatu Datuk Seri Saifuddin Abdullah pula dilaporkan berkata sambutan meriah terhadap dua kapal tentera laut China yang berlabuh di Pelabuhan Pulau Pinang itu disifatkan ‘tidak masuk akal’ terutama ketika terdapat dakwaan perairan Malaysia iaitu di Sabah dan Sarawak dicerobohi aset republik berkenaan.