BUTTERWORTH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang merampas 86,086 unit peranti rokok elektronik atau vape dan 996.5 liter cecair vape bernilai RM5.17 juta termasuk cukai dalam dua serbuan berbeza pada April lepas.

Pengarah JKDM negeri Rohaizad Ali berkata serbuan ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Butterworth Utara (NBCT) serta sebuah lagi di Pelabuhan Klang turut membawa kepada penahanan tiga lelaki, termasuk seorang warganegara China.

Beliau berkata dalam serbuan pertama pada 1.15 tengah hari pada 3 April lepas, Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kontena yang berlabuh di NBCT dari China.

“Hasil pemeriksaan menemukan 14,200 unit peranti rokok elektronik dan 210 cecair vape tidak diikrarkan semasa pengimportan bersama-sama barang dagangan lain dianggarkan bernilai RM1.33 juta dengan jumlah duti RM205,400.

“Seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai ejen dan seorang lelaki warganegara China berusia lingkungan 30-an yang mengaku sebagai pengeksport barang dagangan tersebut telah ditahan. Ini merupakan kes pertama di Pulau Pinang tahun ini yang menghasilkan tangkapan berkaitan rampasan vape,” katanya dalam sidang media di Stor Penguatkuasaan Bagan Jermal di sini hari ini.

Rohaizad berkata siasatan pihaknya mendapati kontena tersebut diisytiharkan mengandungi barangan plastik, namun vape dan cecairnya tidak diisytiharkan dan diletakkan bersama barangan lain dalam kontena itu.

Dalam serbuan kedua pada pukul 11 pagi, 10 April lepas, sebanyak 71,886 unit peranti rokok elektronik dan 786.5 liter cecair vape bernilai RM3.64 juta termasuk cukai dirampas hasil pemeriksaan ke atas sebuah kontena dari China yang berlabuh di Pelabuhan Klang.

Beliau berkata serbuan turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 40-an yang berperanan sebagai ejen.

“Kontena ini diisytiharkan mengandungi tali pinggang dan dompet, namun pemeriksaan mendapati terdapat vape serta cecair vape yang tidak diisytiharkan bersama barang dagangan lain,” katanya.

Siasatan lanjut ke atas kedua-dua kes berkenaan sedang dijalankan mengikut Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967.