KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pengajian Tinggi untuk menjadikan e-sukan sebagai kursus jangka panjang di institusi pengajian tinggi.
Menteri Hannah Yeoh menyatakan usaha pembangunan bakat dalam industri e-sukan telahpun dimulakan menerusi kursus jangka masa pendek.
Beliau berkata selepas kemenangan pasukan Selangor Red Giants yang membawa pulang ganjaran besar, ramai sudah mula melihat e-sukan sebagai satu kerjaya.
Namun beliau mengakui kerisauan sebagai ibu bapa memang wujud kerana ketagihan gajet merupakan masalah serius di Malaysia.
“Kita kena cari keseimbangan dalam perkara ini,“ katanya menjawab celahan Afnan Hamimi Taib Azamudden pada sesi penggulungan perbahasan.
Afnan Hamimi bertanyakan sama ada kementerian bersedia mewujudkan ijazah e-sukan di universiti dalam tempoh lima tahun akan datang.
Hannah juga berkata kajian UiTM baru-baru ini mendedahkan wujudnya jurang psikologi dalam kalangan belia dari aspek kesiapsiagaan mental.
Kajian itu membuktikan pentingnya memastikan penglibatan belia dalam e-sukan tidak menjejaskan tumpuan akademik.
Beliau turut menjawab pertanyaan mengenai usaha KBS dalam menghubungkan program TVET dengan keperluan industri semasa.
Kementerian sedang mengambil langkah ke arah itu dengan cabaran utama memastikan tenaga pengajar memiliki kepakaran sesuai.
“Kita sekarang sedang melancarkan projek perintis untuk institusi dalam bidang sukan termasuk aviation sports menggunakan AI,“ katanya. - Bernama