PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menghormati keputusan Mahkamah Tinggi hari ini yang memerintahkan 172 jam tangan ‘Pride Collection’ yang dirampas tahun lepas, dikembalikan semula kepada syarikat pengimport dan penjual jam tangan, The Swatch Group (Malaysia) Sdn Bhd.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata KDN bagaimanapun akan mendapatkan laporan penuh berkenaan penghakiman itu.

“Bila KDN melakukan penguatkuasaan dalam kes itu, jelas kami mengguna pakai akta yang ada dan bahagian penguat kuasa (mengikut) pertimbangan pada waktu itu.

“Apabila tindakan itu kemudian dicabar di mahkamah, dan kalau demikian keputusan mahkamah, KDN seharusnya menghormati keputusan itu, jika tidak itu dianggap penghinaan mahkamah, jadi saya kena dapatkan laporan penuh berkenaan dengan penghakiman itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KDN di sini hari ini yang turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Amarjeet Singh membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman difailkan The Swatch Group (Malaysia) selaku pemohon terhadap Ketua Setiausaha KDN, Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan KDN, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keempat.

Amarjeet berkata mahkamah turut membenarkan permohonan oleh pemohon untuk membatalkan notis penyitaan atas alasan rampasan itu dibuat tanpa waran dan ia tidak sah.

Pada 24 Jun 2023, The Swatch Group (Malaysia) memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar tindakan KDN merampas 172 jam tangan termasuk siri ‘Pride Collection’ yang didakwa dikaitkan dengan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Dalam permohonan itu, pemohon berkata rampasan kesemua jam tangan berkenaan tidak sah kerana barangan itu bukan sebuah ‘penerbitan’ yang boleh dilarang dalam Akta Mesin Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Menurut syarikat itu, jam tangan dari reka bentuk 2023 adalah satu daripada enam warna pelangi dan hanya kelihatan di sebahagian kecil gelung jam berkenaan serta ia tidak mempromosikan sebarang gejala seksual.

Pada 13 dan 14 Mei 2023, KDN menyerbu 11 butik jam tangan jenama Swatch di beberapa negeri dan merampas koleksi bertemakan pelangi yang didakwa dikaitkan dengan LGBT.