• 2025-07-19 05:45 PM

JAKARTA: Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) melaporkan dua kejadian kebakaran hutan berasingan di Sumatera Utara dan Sumatera Barat yang memusnahkan kawasan seluas 46 hektar.

Di Kabupaten Simalungun, Sumatera Utara, beberapa titik panas dikesan pada pagi Khamis di daerah Girsang Sipangan Bolon dan Pematang Sidamanik. Jurucakap BNPB, Abdul Muhari, berkata, “Badan Pengurusan Bencana Daerah Simalungun segera berkoordinasi dengan pihak berkuasa tempatan bagi mengawal kebakaran yang dipercayai berpunca daripada cuaca kering dan angin kencang.”

Sehingga Jumaat, sekurang-kurangnya 25 hektar tanah telah terbakar sebelum kebakaran berjaya dikawal dengan bantuan unit kawalan kebakaran hutan dan tanah khas Indonesia, Manggala Agni, pasukan bomba tempatan serta sukarelawan komuniti.

Di Sumatera Barat, kebakaran berasingan berlaku pada petang Jumaat di Nagari Padang Ganting dan Nagari Pagaruyung, Kabupaten Tanah Datar. “Kira-kira 11 hektar tanah terjejas di Padang Ganting dan 10 hektar lagi di Pagaruyung,“ kata Abdul Muhari.

Dengan sebahagian besar wilayah Indonesia kini memasuki musim kemarau, BNPB menggesa kerajaan-kerajaan wilayah untuk sentiasa berwaspada terhadap risiko kebakaran hutan dan tanah. Pihak berkuasa turut dinasihatkan memperkukuh langkah-langkah mitigasi, termasuk rondaan bersama dan pemadaman awal titik panas, terutamanya di kawasan berisiko tinggi. - Bernama