PETALING JAYA: Harimau Malaya dijadual berdepan dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Singapura dan Palestin September ini sebagai persiapan menghadapi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos, Oktober ini.
Ketua jurulatih skuad kebangsaan Peter Cklamovski,berkata pertembungan ‘Derbi Tambak’ menentang Singapura yang kini berada di ranking ke-159 dunia akan berlangsung pada 4 Sept, manakala aksi menentang Palestin (ranking ke-98) dijadualkan empat hari kemudian, pada 8 Sept.
Walaupun lokasi perlawanan masih belum dimuktamadkan, pengendali dari Australia itu berharap kedua-dua aksi tersebut dapat dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebagai medan terbaik untuk menilai prestasi semasa pasukannya.
“Singapura adalah pasukan yang baik. Ia adalah aksi penuh emosi — derbi serantau yang sentiasa mencuri tumpuan. Kedudukan ranking bukan ukuran sebenar kekuatan mereka. Kami menjangkakan perlawanan yang sengit,” katanya dalam satu sesi santai bersama media di sini, hari ini.
Cklamovski menjelaskan kedua-dua pasukan dipilih secara strategik kerana memiliki corak permainan tersendiri yang mampu menguji tahap kematangan taktikal Harimau Malaya, selepas kemenangan bergaya 4-0 ke atas Vietnam dalam kelayakan Piala Asia 2027 bulan lalu.
“Palestin pula sudah layak ke Piala Asia 2027 dan berada dalam kelompok 100 terbaik dunia. Jadi, ia satu cabaran yang baik untuk kita mengukur tahap sebenar pasukan kebangsaan apabila berdepan lawan berkualiti seperti mereka.
“Kami mahu mencorak permainan mengikut identiti tersendiri dan menghantar mesej jelas bahawa pasukan ini mampu membuat rakyat Malaysia bangga dan teruja,” katanya.
Menurut beliau, biarpun kemenangan ke atas Vietnam memberi suntikan semangat besar, keutamaan kini adalah untuk mengekalkan momentum positif dan terus membina kekuatan pasukan menerusi dua aksi persahabatan berkenaan.
Malaysia, yang kini berada di ranking ke-125 dunia, menentang Laos pada 9 dan 14 Okt diikuti pertembungan dengan Nepal pada 18 Nov bagi aksi kelayakan Piala Asia 2027 sebelum melengkapkan aksi Kumpulan F berdepan Vietnam pada 31 Mac tahun depan.
Malaya kini mendahului kumpulan dengan enam mata, diikuti Vietnam dan Laos yang masing-masing mengutip tiga mata, manakala Nepal (ranking ke-176) di tangga tercorot tanpa sebarang mata.