KOTA BHARU: Sebuah kedai bateri kenderaan di Jalan Yakobiah, Lundang musnah 60 peratus akibat kebakaran petang semalam. Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Fadhlizil Ikram Ahmad Fauzi, pasukan bomba tiba di lokasi pada pukul 5.39 petang selepas menerima panggilan kecemasan pada 5.30 petang. Kebakaran berlaku di sebuah kedai berstruktur separuh kekal berkeluasan 80 kaki x 30 kaki.
“Premis ini adalah kedai pembekal bateri dan pendawaian kenderaan. Ketika kejadian, perniagaan tidak dijalankan kerana cuti minggu di negeri ini,“ jelas Fadhlizil.
Operasi pemadaman melibatkan 17 anggota bomba dan enam jentera, termasuk tiga Fire Rescue Tender (FRT), dua lori tangki, dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS). Api berjaya dikawal pada pukul 6.45 petang dan dipadamkan sepenuhnya 30 minit kemudian.
“Kerja-kerja pemadaman dan pemeriksaan struktur masih dijalankan untuk memastikan tiada bara api tertinggal. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,“ tambahnya - Bernama