PUTRAJAYA: Kedutaan Besar Malaysia di Addis Ababa, Ethiopia kini kembali beroperasi bermula 23 September.
Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan pada Isnin memaklumkan pembukaan semula kedutaan itu mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus mengukuhkan hubungan dua hala yang mesra dan erat dengan Ethiopia.
Ia menjadi pemangkin untuk meneroka peluang-peluang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama, terutamanya dalam perdagangan, pelaburan dan kesalinghubungan antara rakyat.
Kementerian yang juga dikenali sebagai Wisma Putra menegaskan bahawa pembukaan semula Kedutaan Besar Malaysia di Addis Ababa, yang turut menjadi lokasi ibu pejabat Kesatuan Afrika, bakal membuka ruang bagi Malaysia memperkukuh hubungan dengan Kesatuan Afrika.
Kedutaan kini beroperasi di alamat sementara di Hotel Sheraton Addis, P.O. Box 6002, Taitu St., Addis Ababa, Ethiopia.
Ia boleh dihubungi di talian +251 115171717 (samb. 349) atau e-mel mwaddisababa@kln.gov.my. – Bernama