• 2025-09-29 02:42 PM

KUANTAN: Seorang petugas Jabatan Kerja Raya (JKR) yang dilaporkan terjatuh dari bot sebelum dihanyutkan arus sungai di Kampung Kedaik, Rompin semalam telah ditemukan lemas hari ini.

Ketua Polis Daerah Rompin Supt Sharif Shai Sharif Mondoi berkata Saharudin Harun yang berusia 44 tahun ditemui oleh orang awam yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat pada pukul 11.25 pagi.

“Mangsa dijumpai dalam keadaan lengkap berpakaian kira-kira 200 meter dari lokasi dilaporkan terjatuh,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat telah ditamatkan pada pukul 12 tengah hari dan mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Rompin.

Operasi tersebut melibatkan pasukan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang bermula selepas laporan kehilangan mangsa diterima pada pukul 10.20 pagi semalam.

Saharudin dan seorang rakan dilaporkan sedang memancing di kawasan tersebut sebelum kejadian berlaku.

Mangsa yang duduk di bahagian depan bot terjatuh dan dihanyutkan arus selepas kipas bot tersangkut pada pukat semasa mereka dalam perjalanan pulang ke rumah rakit. – Bernama