KOTA BHARU: Kejayaan rundingan perdamaian dan gencatan senjata dalam konflik sempadan Thailand-Kemboja merupakan hasil tanggungjawab pelbagai pihak, termasuk kepimpinan ASEAN, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata kejayaan tersebut juga adalah hasil komitmen dan tindakan cemerlang Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan serta peranan aktif Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.
“Panglima Angkatan Tentera telah menjalankan tugas dengan sangat cemerlang, terus berlepas ke Bangkok, Phnom Penh dan ke sempadan untuk berbincang dengan jeneral-jeneral yang bertanggungjawab. Itu caranya, bukan saya seorang sahaja.
“Saya menjalankan tugas saya, Menteri Luar berhubung dengan rakan sejawatannya, jeneral dengan jeneral, barulah kita dapat mencapai rundingan perdamaian yang julung-julung kali berlaku dengan cepat, Alhamdulillah,” katanya pada Program Rancakkan MADANI Kelantan di Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian, hari ini.
Anwar turut memaklumkan kejayaan rundingan itu mendapat perhatian Presiden Amerika Syarikat Donald J. Trump, yang menghubunginya untuk mengucapkan terima kasih atas usaha tersebut.
“Trump menghubungi saya dan mengucapkan terima kasih, tetapi saya beritahu bahawa rundingan damai ini bukan usaha saya seorang sahaja, sebaliknya hasil kerjasama pemimpin ASEAN lain serta kerajaan Thailand dan Kemboja yang turut bertanggungjawab,” katanya.
Rabu lepas, Thailand dan Kemboja bersetuju untuk mematuhi gencatan senjata yang dicapai pada 28 Julai dengan teguh di sepanjang sempadan bersama mereka, dengan kedua-dua pihak mengekalkan kedudukan anggota tentera sedia ada serta tidak menambah kekuatan ketenteraan.
Persetujuan itu dicapai semasa Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan AM (GBC) Luar Biasa di Wisma Perwira di sini yang dipengerusikan secara bersama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Nasional Kemboja Jeneral Tea Seiha dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand Jeneral Nattaphon Narphanit.
Pada 28 Julai, Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata berkuat kuasa tengah malam hari yang sama hasil mesyuarat khas yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.
Ketegangan memuncak sejak 28 Mei lepas berikutan insiden pertempuran di kawasan sengketa Preah Vihear yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja - BERNAMA