• 2025-08-09 09:20 AM

KUALA LUMPUR: Harapan skuad Bawah 20 (B-20) wanita negara untuk mara ke pusingan akhir Piala Asia B-20 Wanita 2026 berkecai selepas tewas 0-16 kepada Jepun dalam aksi kedua Kumpulan F pusingan kelayakan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Skuad kendalian Cameron Ng ketinggalan 0-7 pada babak pertama menerusi jaringan Anon Tsuda (minit ke-5, 23, 29), Mao Itamura (14, 17, 33) dan Asako Furuta (45+2).

Memasuki separuh masa kedua, Jepun terus menguasai permainan dengan menambah sembilan lagi gol melalui Furuta (45, 90+3), So Kojima (52, 58, 89), Tsuda (60), Sawa Tsuge (63) dan Yuka Kurimoto (68, 77).

Keputusan itu menyaksikan Malaysia kini berada di tangga tercorot, manakala Jepun kekal di kedudukan teratas Kumpulan F dengan mengumpul enam mata.

Sementara itu, kedudukan kedua Kumpulan F dihuni Iran yang berjaya meraih kemenangan kedua hari ini selepas menumbangkan Guam 2-0.

Malaysia selepas ini akan melengkapkan aksi kelayakan Kumpulan F pada Ahad ini untuk penentuan tempat ketiga/keempat. - Bernama