JOHOR BAHRU: Empat mangsa termasuk tiga kanak-kanak cedera dalam kemalangan membabitkan van sekolah dan lori treler simen berhampiran susur keluar Bandar Dato’ Onn, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan. Kejadian berlaku tengah hari tadi.
Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau Pegawai Bomba Kanan II KUP Muhamad Azizi Zakaria, seorang murid lelaki dan dua murid perempuan mengalami kecederaan.
Pemandu van wanita berusia 45 tahun pula tersepit dalam kenderaan.
“Bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.10 petang. Operasi menyelamat melibatkan 10 anggota menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa,“ katanya dalam kenyataan.
Sebanyak 19 lagi kanak-kanak dan pemandu treler berusia 32 tahun dilaporkan selamat. Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan lanjut.
Operasi penyelamatan disokong oleh sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS). - Bernama