• 2025-08-17 09:25 PM

KANGAR: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Perlis kekal beriltizam memperkasa wanita luar bandar, terutama usahawan di bawah bimbingannya.

Pengarah KEMAS Perlis Mohamad Zaki Ismail menyatakan golongan ini akan terus dibantu menguasai bidang perniagaan selaras program Wanita Inspirasiku bertemakan “Wanita Desa Ke Global”.

“Kami berharap usahawan bimbingan KEMAS dapat tingkatkan pendapatan keluarga dan kembangkan pasaran produk hingga peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Program Santunan Desa KEMAS peringkat negeri yang dirasmikan Pengerusi Komuniti KEMAS Perlis Datuk Rozabil Abdul Rahman.

KEMAS Perlis turut menganjurkan Kursus Bimbingan Usahawan Quick-Win dalam bidang jahitan, masakan dan seni tangan melibatkan 30 peserta kelas kemahiran tahun ini.

Mohd Zaki menekankan objektif utama program ini adalah membina masyarakat luar bandar berilmu, berdaya tahan dan sejahtera.

“Ia juga menyokong Dasar Pembangunan Luar Bandar Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bagi pastikan pembangunan desa lebih seimbang,” jelasnya.

Program dua hari itu menampilkan gerai jualan usahawan KEMAS, Jualan Rahmah, pameran agensi kerajaan dan aktiviti gotong-royong- Bernama