• 2025-07-29 06:13 PM

LENGGONG: Siasatan awal kejadian kematian seorang anggota Rejimen 22 Komando Grup Gerak Khas (GGK) menunjukkan kemungkinan isu melibatkan peralatan yang digunakan semasa latihan.

Panglima Tentera Darat (PTD) Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, lembaga siasatan Tentera Darat Malaysia (TDM) sedang meneliti perkara itu secara menyeluruh.

“Hasil dapatan awal menunjukkan peralatan yang digunakan telah agak lama yang boleh menjadi antara faktor penyumbang kejadian. Kita juga sedang menjalankan audit serta siasatan lanjut bagi mengenal pasti sama ada ia berpunca daripada kegagalan peralatan atau kesilapan manusia,“ katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Serangan Akhir dan Penutup Eksesais Keris Strike 2025 di Felda Lawin Selatan. Koperal Mohd Haswansir Julnasir, 30, terkorban semasa menyertai Latihan Seaghost Siri 1/2025 di perairan Kuantan, Pahang pada 3 Julai lepas.

Allahyarham dilaporkan hilang kira-kira pukul 12.15 tengah hari ketika melaksanakan latihan selam menggunakan Closed Circuit Breathing Apparatus (CCBA) sebelum mayatnya dijumpai oleh pasukan penyelamat kira-kira 10 pagi, 5 Julai.

Muhammad Hafizuddeain menegaskan TDM sentiasa mematuhi prosedur penyelenggaraan mengikut jadual yang ditetapkan berdasarkan tempoh hayat peralatan. “Setiap aset yang digunakan mempunyai dasar jangka hayat seperti 10 atau 20 tahun dan sepanjang tempoh itu, penyelenggaraan berjadual dilaksanakan,“ jelasnya.

Beliau tidak menafikan TDM berdepan cabaran dalam mengurus aset sedia ada yang kebanyakannya ialah “aset legasi” seperti kenderaan dan sistem sokongan yang telah berusia. Namun, TDM tetap melaksanakan penyelenggaraan teliti bagi memastikan kesiapsiagaan kekal optimum. - Bernama