KUALA LUMPUR: Kematian Presiden Iran Ebrahim Raisi dan Menteri Luarnya, Dr Hossein Amirabdollahian dalam nahas helikopter pada Ahad merupakan satu kehilangan besar dalam dunia kepimpinan Islam dan rakyat negara Iran, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Katanya beliau berdukacita dengan berita pemergian Raisi, Amirabdollahian serta penumpang lain dalam nahas helikopter itu yang terhempas di kawasan pergunungan di barat laut Iran.

Mohamad berkata kali terakhir beliau bertemu Amirabdollahian ialah semasa Debat Terbuka Peringkat Menteri Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Januari lepas dan dalam perbualan telefon bersama beliau pada hujung bulan April yang lalu.

“Allahyarham begitu bervisi dalam usaha pengukuhan hubungan dua hala Malaysia-Iran di dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama.

“Sesungguhnya ini merupakan satu kehilangan besar dalam dunia kepimpinan Islam dan rakyat Republik Islam Iran,” katanya dalam hantaran di platform X.

“Doa saya agar roh mereka yang terkorban dicucuri rahmatNya dan ditempatkan bersama orang-orang beriman serta beramal soleh,” tambah beliau.

Raisi dilaporkan sedang dalam penerbangan pulang daripada satu majlis perasmian sebuah empangan di sempadan Iran dan Azerbaijan apabila helikopter dinaikinya itu terhempas ketika hendak mendarat di Wilayah Varzaqan.

Selain Raisi dan Amirabdollahian, Gabenor Wilayah Azerbaijan Timur Malek Rahmati, Imam Solat Jumaat Bandar Tabriz Hojjatoleslam Al Hashem dan beberapa individu lain juga dilaporkan berada di dalam helikopter itu.