• 2025-09-05 07:19 PM

PUTRAJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menjelaskan buat masa ini tiada ganjaran disediakan untuk atlet pekak yang muncul juara keseluruhan Sukan SEA Pekak 2025 kerana tidak termasuk dalam bajet asal, namun usaha sedang dilakukan bagi mendapatkan dana tambahan.

Menterinya Hannah Yeoh berkata kerajaan sebelum ini telah memperuntukkan dana persiapan kepada atlet pekak menerusi Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) bagaimanapun peruntukan itu hanya merangkumi latihan dan persediaan pasukan.

“Kita nak cuba sebaik mungkin untuk bantu semua. Jadi kerajaan ada peruntukan duit untuk MSDeaf untuk persiapan untuk Deaflympics. Tetapi duit itu adalah untuk persiapan. Untuk ganjaran, kita kena usahakan, kita kena dapatkan bajet tambahan. Buat setakat ini memang kita tak ada. Bukan tak nak bagi, tak ada,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan kerajaan kini sedang sedaya upaya bersifat inklusif dengan memastikan atlet pekak turut menerima bantuan asas berbanding sebelum ini.

“Itu sebab dahulunya mereka langsung tak dapat apa-apa bantuan untuk pergi latihan. Tetapi sekarang kita dah mula. Tapi ini adalah langkah pertama...saya yakin kerajaan nak bantu semua, tetapi dalam usaha kita membantu semua...tak boleh sekali gus semua dah lengkap. Kita (bantu) langkah demi langkah,” katanya.

Bulan lepas, kontinjen Malaysia mencipta sejarah apabila menutup saingan dengan rekod baharu 25 pingat emas, 16 perak dan 11 gangsa sekali gus dinobatkan sebagai juara keseluruhan pada edisi kedua temasya Sukan SEA Pekak 2025 di Jakarta, Indonesia.

Ketua Kontinjen Malaysia Sarkunan Balakrishnan sebelum ini berkata kejayaan luar biasa itu wajar diiringi pengiktirafan daripada kerajaan menerusi insentif khas dan ganjaran kepada atlet, jurulatih serta pegawai yang mengharumkan nama negara.

Terdahulu, kontinjen negara ke Jakarta menerima peruntukan berjumlah RM3 juta termasuk bagi persiapan keseluruhan atlet ke Deaflympics Tokyo pada November ini - BERNAMA