KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi telah diiktiraf sebagai salah satu daripada tiga kementerian yang berjaya melaksanakan reformasi kerenah birokrasi. Pencapaian ini diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar melalui catatan di Facebook.
Menurut beliau, Kementerian Komunikasi berjaya memendekkan tempoh kelulusan skrip filem asing daripada 30 hari kepada hanya tujuh hari. Ini bukan sahaja menjimatkan kos beban peraturan sehingga RM2.4 juta bagi setiap produksi, malah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama penggambaran antarabangsa.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa menerima sijil penghargaan tersebut dalam satu majlis di Putrajaya semalam.
Selain itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan turut mencapai kejayaan dalam reformasi birokrasi. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya mempercepatkan kelulusan Perakuan Pelan Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik (EVCB) daripada 28 hari kepada tiga hari.
Shamsul Azri berkata, JBPM juga berjaya memendekkan tempoh kelulusan perakuan pelan teknikal tidak bersistem daripada 30 hari kepada tujuh hari. “Penjimatan kos dan beban peraturan tahunan sebanyak RM1.776 juta dicapai melalui pengurangan prosedur dan pemerkasaan sistem e-premis,“ jelasnya.
Sementara itu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berjaya mengurangkan halangan dalam pembiayaan sektor aeroangkasa. Ini membawa penjimatan beban RM17 juta bagi 50 PKS serta peningkatan kapasiti pengeluaran sehingga 30 peratus.
“Margin keuntungan kasar meningkat melebihi 20 peratus melalui automasi dan pensijilan, sekaligus mengukuhkan rantaian bekalan dan mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi,“ tambah Shamsul Azri.