KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen menetapkan 4 November ini untuk memutuskan sama ada Ketua Bersatu Bahagian Port Dickson Badrul Hisham Shaharin perlu membela diri atau dibebaskan atas tuduhan mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Hakim Norma Ismail memutuskan tarikh tersebut setelah Timbalan Pendakwa Raya Nursyuhada Husna Sulaiman memaklumkan bahawa pihak pendakwaan telah menutup kes selepas selesai mendengar keterangan saksi terakhir.
“Mahkamah menetapkan 9 September untuk pemfailan hujahan bertulis, 9 Oktober bagi hujahan balas jika ada, dan 4 November untuk keputusan akhir kes,“ jelas Hakim Norma Ismail.
Badrul Hisham, yang lebih dikenali sebagai Chegu Bard, diwakili oleh peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dalam prosiding hari ini.
Sebanyak empat saksi pendakwaan telah memberi keterangan sejak perbicaraan bermula pada 16 Mei lepas, termasuk seorang pengadu dari Istana Negara, dua saksi dari MCMC, dan pegawai penyiasat kes.
Pada 29 April 2024, Badrul Hisham didakwa di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan fitnah yang boleh menjejaskan nama baik Yang di-Pertuan Agong.
Tuduhan tersebut dikatakan berlaku di Pejabat Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara pada pukul 6 petang, 22 Januari 2024.
Jika sabit kesalahan, beliau boleh menghadapi hukuman penjara maksimum dua tahun, denda, atau kedua-duanya. – Bernama