PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 18 Nov ini untuk keputusan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, daripada tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim menetapkan tarikh itu, selepas meneliti hujahan bertulis dan mendengar hujahan lisan daripada peguam Datuk Seri K.Kumaraendran dan M. Athimulan masing-masing mewakili Bung Moktar dan Zizie Izette, serta Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Maziah Mohaide selaku perayu.

“Mahkamah mendapati hujahan bertulis yang difailkan adalah mencukupi untuk kami membuat analisis terhadap rayuan, jadi tidak perlu sebarang hujahan tambahan kerana ia hanya akan memanjangkan cerita.

“Mahkamah akan memberikan tarikh keputusan iaitu 18 Nov ini. Kes ini merupakan kes berkepentingan awam dan perlu diselesaikan segera,” kata Hakim Ahmad Zaidi yang turut bersidang bersama Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin.

Pada 18 Sept 2023, pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 Sept 2023 yang membebaskan pasangan itu daripada pertuduhan tersebut.

Mahkamah Tinggi memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan dan Zizie Izette, bagi menyemak keputusan Mahkamah Sesyen pada 2 Sept 2022 yang memerintahkan mereka membela diri terhadap pertuduhan itu.

Bung Moktar, 64, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa pada 3 Mei 2019 atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan agensi berkenaan supaya melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.

Bung Moktar turut didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah Norhaili Ahmad Mokhtar atas nama Zizie Izette untuk sebab dan tempat sama pada 19 Jun 2015, manakala Zizie Izette didakwa bersubahat dengan beliau melakukan perbuatan itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Terdahulu, Maziah memohon supaya pendengaran rayuan hari ini ditangguhkan berikutan TPR Law Chin How yang mengetuai pendakwaan tidak dapat hadir ke mahkamah, kerana beliau tidak sihat dan menyerahkan sesalinan surat cuti sakit kepada mahkamah.

“Namun, sekiranya mahkamah masih ingin meneruskan dengan rayuan, saya telah mendapat arahan daripada pengarah kanan bahagian perundangan dan pendakwaan untuk guna pakai sepenuhnya hujahan bertulis yang telah difailkan pada 20 Jun 2024,” katanya.

Hakim Ahmad Zaidi tidak membenarkan permohonan TPR Maziah untuk menangguhkan pendengaran rayuan hari ini atas alas hujahan bertulis perayu adalah jelas dan merangkumi isu berbangkit.

Sementara itu Athimulan yang mewakili Bung Moktar berkata terdapat keterangan lisan yang diberikan dua saksi pendakwaan (SP24 dan SP25) yang menafikan Bung Moktar telah menerima atau meminta RM2.8 juta itu, yang merupakan pertuduhan rasuahnya.

Beliau berkata Hakim Mahkamah Sesyen yang mengarahkan Bung Moktar dan Zizie Izette untuk membela diri atas pertuduhan mereka pada 2022, dengan jelas satu kesilapan, tidak boleh diterima dan menyebabkan ketidakadilan terhadap kedua-dua mereka.

“Tiada sebarang bukti bahawa Bung Moktar telah menerima atau meminta wang itu. Jika beliau kekal mendiamkan diri, beliau akan dihukum. Jika dia membela diri dan bercakap (dalam sumpah) bahawa beliau tidak mengambil atau meminta wang itu, ia kemudiannya menjadi penafian kosong.

“Keputusan Hakim Mahkamah Sesyen untuk mengarahkan responden untuk membela diri adalah sangat tidak teratur dan menyebabkan keadilan tidak dilaksanakan kerana tiada kes prima facie telah buktikan pihak pendakwaan seperti dalam keterangan direkodkan di Mahkamah Sesyen, untuk mengarahkan pemohon membela diri terhadap pertuduhan yang dikenakan terhadap beliau atau isterinya,” katanya.

Kumaraendran yang mewakili Zizie Izette memberitahu mahkamah bahawa beliau mempunyai hujah yang sama seperti Athimulan.