BAGAN DATUK: Kerajaan akan memberikan bantuan kewangan bagi membantu mangsa kebakaran di Kampung Bagan Pasir Laut, Hutan Melintang membina semula rumah mereka yang musnah dalam kejadian Ahad lepas.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebanyak 21 ketua isi rumah (KIR) dan beberapa pemilik premis perniagaan layak menerima bantuan tersebut selepas proses bancian selesai.
“Peruntukan sedia ada ialah kira-kira RM86,000 bagi satu unit rumah.
Hari ini, pelbagai jabatan, agensi, NGO, dan persatuan telah menyumbang RM10,000 bagi setiap keluarga.
Selain itu, persatuan agama Buddha di sini turut menderma RM100,000 untuk semua mangsa,“ katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM3,000 kepada setiap KIR terjejas.
Kejadian kebakaran pada Sabtu lepas telah memusnahkan 21 rumah, beberapa premis perniagaan, dan sebuah tokong di Kampung Bagan Pasir Laut sekitar jam 4 pagi.
Ahmad Zahid turut menyatakan bahawa kerajaan akan memudahkan proses pengeluaran geran bagi membolehkan mangsa membina semula rumah di atas tanah berstatus Lesen Pendudukan Sementara (TOL).
“Kampung Bagan Pasir Laut merupakan perkampungan nelayan berusia kira-kira 140 tahun dengan 149 rumah dan pelbagai premis perniagaan,“ jelasnya.
Bagi tokong yang musnah, seorang individu telah bersetuju untuk menyumbang dana bagi pembinaan semula rumah ibadat tersebut.