KUALA LUMPUR: Kerajaan belum berhasrat untuk menubuhkan entiti tunggal bagi mengawal selia pembangunan industri unsur nadir bumi (REE) negara.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menjalankan tugas serta fungsi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata beberapa kerajaan negeri dalam sesi libat urus sebelum ini telah menyuarakan bantahan terhadap cadangan penubuhan entiti tunggal berkenaan yang dilihat sebagai usaha untuk menasionalisasikan sumber mineral milik negeri.
Beliau menjelaskan pengurusan sumber petroleum di luar perairan negeri adalah berbeza dengan pengurusan hal ehwal tanah yang diletakkan di bawah bidang kuasa negeri.
“Ia sebagaimana termaktub dalam Senarai II, Senarai Negeri dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bidang kuasa negeri meliputi permit dan lesen untuk mencari gali bagi lombong, pajakan melombong dan perakuan melombong,“ katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) di Dewan Rakyat hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata sebarang inisiatif seumpamanya memerlukan penelitian mendalam serta libat urus yang rapi bersama semua kerajaan negeri bagi memastikan kepentingan dan hak negeri sentiasa terpelihara.
Dalam pada itu, Johari berkata Malaysia tidak pernah menawarkan pengeksportan mentah REE sebagai timbal balas atau syarat bagi mengurangkan tarif perdagangan dalam rundingan bersama kerajaan Amerika Syarikat (AS).
Beliau menegaskan tiada sebarang komitmen diberikan kepada AS, sama ada untuk mengeksport REE dalam bentuk mentah mahupun untuk membekalkan secara eksklusif kepada negara berkenaan.
“(Ia) seperti mana yang telah dimaklumkan sebelum ini oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz) pada 7 Ogos lepas bahawa rundingan tarif tidak melibatkan komitmen membekalkan REE,“ katanya.
Mengenai status rundingan dengan kerajaan China berhubung cadangan pembelian semula REE, Johari berkata pada masa ini rundingan itu lebih memfokuskan kepada pengukuhan kerjasama bagi membolehkan industri REE tempatan dibangunkan secara keseluruhan dalam rantaian nilai termasuk pembangunan loji pemprosesan.
“Masih terlalu awal, dia nak tengok bahawa kita punya REE ini menghasilkan produk-produk yang mereka hendak jadikan produk hiliran,“ katanya.
“Jadi buat masa ini, tiada rundingan rasmi dibuat bagi membeli semula REE yang telah diproses di China,“ jelas beliau. - Bernama