PUTRAJAYA: Kerajaan sedang merangka pendekatan baharu berasaskan komunikasi digital, aplikasi pintar dan kolaborasi strategik bagi mengekang penyalahgunaan dadah yang semakin kritikal.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Pelan Komunikasi Antidadah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) memberi penekanan kepada tiga strategi utama iaitu Above the Line (ATL), Through the Line (TTL) dan Below the Line (BTL).
ATL merujuk kepada penyebaran mesej kesedaran melalui televisyen, radio dan dokumentari keluarga penagih manakala TTL menggabungkan kempen media sosial serta aktiviti bersemuka di sekolah.
BTL pula melibatkan penyampaian mesej antidadah melalui jaringan penggerak masjid dan NGO Islam sebagai saluran komunikasi akar umbi.
“Pendekatan utama pelan ini ialah komunikasi digital yang bersifat dua hala dan interaktif selaras dengan gaya hidup generasi muda masa kini,” katanya dalam temu bual khas bersama Bernama.
Ahmad Zahid menekankan kerjasama dengan platform seperti Netflix dan Meta untuk menyelitkan mesej pencegahan selain memperkenalkan chatbot AADK sebagai intervensi awal.
Strategi microlearning melalui kolaborasi e-games seperti Mobile Legends turut diperkenalkan untuk mendekati golongan muda secara kreatif.
Inisiatif itu diperkukuh dengan kerjasama kementerian, jabatan, badan bukan kerajaan, sektor korporat serta PEMADAM bagi memastikan matlamat pelan tercapai dari 2025 hingga 2027.
Menjawab mengenai perbelanjaan besar kerajaan, beliau mendedahkan lebih 50 billion ringgit telah diperuntukkan untuk aspek pencegahan, penguatkuasaan dan rawatan.
Beliau menjangkakan peruntukan kewangan akan terus meningkat memandangkan undang-undang kini merangkumi bukan sahaja penagih tetapi juga penyalah guna dadah.
Berdasarkan statistik AADK, lebih 70% penagih kini beralih daripada dadah tradisional seperti heroin dan morfin kepada dadah sintetik yang memberi kesan lebih kritikal.
“Perkembangan ini membuktikan pendekatan sedia ada perlu disesuaikan dengan perubahan trend semasa,” katanya.
Menyentuh kebimbangan terhadap penglibatan kanak-kanak seawal usia 10 tahun, Ahmad Zahid berkata kerjasama sistem pendidikan, keluarga dan agensi penguatkuasaan amat penting.
Di sekolah, AADK dan Kementerian Pendidikan mengintegrasikan elemen pencegahan dalam kurikulum dan kokurikulum termasuk Kem Pintar untuk murid sekolah rendah.
Program SHIELDS (Sayangi Hidup Elak Derita Selamanya) untuk pelajar menengah serta latihan guru melalui program Great Teacher Organisation turut dilaksanakan.
Penglibatan pelajar diperkukuh melalui kelab antidadah seperti SKUAD Junior yang berfungsi membina daya tahan diri manakala ibu bapa diberi pendedahan melalui program Family on Alert.
Dari segi penguatkuasaan, rondaan dan operasi pencegahan ditingkatkan selain usaha pembersihan sarang penagihan bersama komuniti dengan kempen kesedaran menggunakan platform digital.
Mengulas statistik semasa, Ahmad Zahid berkata Kelantan kekal merekodkan kadar tertinggi penyalahgunaan dadah dengan 758 orang bagi setiap 100,000 penduduk sehingga Jun 2025.
Terengganu mencatatkan 754 kes diikuti Perlis (731) dan Kedah (700) manakala Sabah, Putrajaya dan Labuan merekodkan kadar lebih rendah.
“Faktor geografi yang berhampiran sempadan, jaringan pengedaran rentas negeri serta tahap sosioekonomi setempat antara punca utama,” katanya.
Dengan kedudukan Kelantan yang bersempadan Thailand, kerjasama serantau turut diperkukuh melalui penglibatan AADK dalam mesyuarat ASEAN.
Kerjasama ini penting bagi menyelaras strategi kawalan rentas sempadan, mengekang bekalan dadah dan memastikan semua negara rantau bertindak secara kolektif.
Mengenai kedudukan Malaysia dalam tempoh 10 tahun akan datang, Ahmad Zahid berkata kerajaan akan terus berusaha mengimbangi pendekatan pencegahan, penguatkuasaan dan pemulihan.
“Kita negara maritim, cabarannya besar tetapi dengan pendekatan pelbagai, penguatkuasaan bersepadu serta sokongan masyarakat, saya percaya kita mampu memperkukuh ketahanan negara,” tegas beliau. – Bernama