• 2025-09-24 05:53 PM

KUCHING: Sarawak perlu membangunkan ekosistem ekonomi yang kukuh dan berdaya tahan sebagai asas penting dalam usaha mencapai sasarannya bagi mewujudkan 500,000 pekerjaan mahir serta meningkatkan pendapatan bulanan penengah isi rumah kepada RM15,049 menjelang tahun 2030.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata sasaran itu digariskan di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 negeri.

Beliau menekankan keperluan memastikan setiap rakyat Sarawak mendapat akses kepada pekerjaan yang bermakna merentasi pelbagai industri.

“Bagi mencapai matlamat ini, kita mengutamakan inovasi, keterangkuman dan kelestarian,” katanya ketika berucap pada program Industry Connect @ Sarawak 2025 di sini hari ini.

Roland Sagah menyenaraikan beberapa langkah utama termasuk membina ekosistem yang kukuh bagi tenaga boleh diperbaharui dan membangunkan industri berkuasa hijau.

Beliau turut menekankan kepentingan memperkukuh rantaian nilai semikonduktor dan mempersiapkan rakyat untuk ekonomi digital.

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dunia telah mengalami perubahan teknologi pesat yang didorong oleh kecerdasan buatan dan pendigitalan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa Sarawak tidak boleh ketinggalan dalam arus perubahan teknologi ini.

Roland Sagah menyeru para pemain industri untuk menyesuaikan diri dengan pantas manakala bakat tempatan perlu dilengkapi dengan kemahiran yang betul.

“Bakat tempatan kita perlu dilengkapi dengan kemahiran yang betul, alat digital dan pemikiran yang sesuai untuk berjaya dalam landskap yang sedang berubah ini,” ujarnya.

Dengan berbuat demikian, beliau yakin rakyat akan diperkasakan untuk merebut peluang baharu dan memacu inovasi.

Inisiatif ini juga dijangka menyumbang secara bermakna kepada pertumbuhan Sarawak dan Malaysia secara keseluruhan. – Bernama