• 2025-07-22 02:17 PM

KUALA LUMPUR: Pengurangan subsidi telur ayam daripada 10 sen kepada lima sen sebiji berkuat kuasa 1 Mei lalu dijangka menjimatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM135 juta dalam tempoh tiga bulan sebelum kawalan harga dihentikan sepenuhnya pada 1 Ogos ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata langkah itu membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaan subsidi sebanyak RM45 juta sebulan. “Bekalan telur ayam kini stabil dan dijual pada harga berpatutan di pasaran,“ katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjelaskan, pengeluaran telur ayam pada 2 Julai lepas dianggarkan 1.75 bilion biji sebulan, manakala keperluan domestik hanya 1.06 bilion biji. “Ini menunjukkan lebihan pengeluaran sebanyak 0.69 bilion biji, sebahagiannya dieksport,“ ujarnya.

Mohamad menegaskan pengurangan dan penamatan subsidi tidak menjejaskan kestabilan industri telur ayam. “Industri ini menunjukkan trend positif termasuk penurunan kos makanan ayam,“ katanya.

Beliau turut memaklumkan kadar inflasi bagi telur ayam menurun 5.3 peratus pada Mei lepas, walaupun penurunan tidak seragam bagi semua gred telur. “Ini mungkin disebabkan fasa penyesuaian harga selepas pelaksanaan subsidi bersasar,“ jelasnya.

Bagi memastikan bekalan dan harga stabil, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memantau pasaran. “Pemantauan rapi dilaksanakan bagi elak gangguan bekalan dan aktiviti pencatutan,“ tegas Mohamad. - Bernama