SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan kerajaan dan penganalisis politik Abdul Razak Baginda membayar lebih RM9 juta kepada keluarga mode; Mongolia, mendiang Altantuya Shaariibuu.
Peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili keluarga mendiang Altantuya berkata Pesuruhjaya Kehakiman M. Sumathi membenarkan permohonan penggantungan bersyarat oleh kerajaan dan Abdul Razak selaku defendan terhadap bayaran ganti rugi itu.
“Mahkamah memerintahkan kedua-dua defendan masing-masing mendepositkan RM4.702 juta, termasuk faedah dan kos RM25,000, kepada firma guaman Karpal Singh & Co dalam tempoh 30 hari bermula hari ini sementara menunggu pelupusan rayuan kes saman itu di Mahkamah Rayuan,” katanya ketika dihubungi pemberita.
Menurutnya, rayuan defendan terhadap keputusan kes saman itu dijadualkan didengar pada 19 Mei ini.
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Samiah Rhazali dan Nik Mohd Noor Nik Kar yang mewakili kerajaan ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
Ibu bapa Altantuya, Dr Shaariibuu Setev dan Altantsetseg Sanjaa, serta cucu mereka, Mungunshagai Bayarjargal, selaku plaintif, memfailkan saman RM100 juta pada 4 Jun 2007 dengan menamakan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, serta Abdul Razak dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Pada 16 Dis tahun lepas, Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, membenarkan saman itu dan memerintahkan defendan bersama-sama membayar ganti rugi am, teruk dan teladan berjumlah RM5 juta kepada keluarga berkenaan.
Hakim turut memerintahkan keempat-empat defendan masing-masing membayar kos RM25,000.
Dalam penyataan tuntutan, keluarga itu mendakwa kematian Altantuya telah menyebabkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi yang melayakkan mereka menerima ganti rugi teladan dan teruk.