KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI memberi jaminan peruntukan khas sebanyak RM30 juta daripada Kementerian Kewangan bagi pembinaan blok tambahan, gantian dan penyelenggaraan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJK(T)) akan dimanfaatkan sepenuhnya tanpa ketirisan.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata jaminan itu dizahirkan pada sesi libat urus dengan Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) dan Guru Besar yang dipengerusikan beliau bersama-sama Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh.
“Kita mahu memastikan setiap sen peruntukan RM30 juta diumumkan Perdana Menteri sampai kepada tujuan asal tanpa sebarang ketirisan, salah guna kuasa atau kelewatan akibat birokrasi yang tidak perlu.
“Kerajaan MADANI akan terus memastikan setiap janji ditunaikan, setiap peruntukan dimanfaatkan sebaiknya dan setiap sekolah dibangunkan untuk manfaat anak-anak kita,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Sesi libat urus itu merupakan kesinambungan mesyuarat terdahulu pada 29 Ogos dan 4 Sept, yang memutuskan pihak LPS serta Guru Besar dijemput ke meja perundingan agar setiap cadangan, keperluan dan keutamaan pembangunan sekolah dapat dibincangkan secara langsung, terbuka dan inklusif.
Pada sesi kali ini, sekolah terlibat ialah SJK(T) Klebang, Perak; SJK(T) Ladang North Hummock, Selangor dan SJK(T) Ladang Kulai Besar serta SJK(T) Ladang Rini di Johor.
Ramanan berkata sesi itu penting bagi memastikan setiap sekolah memperoleh kemudahan benar-benar diperlukan sama ada bilik darjah tambahan, makmal, perpustakaan, kemudahan keselamatan atau penyelenggaraan asas.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek kerana sentiasa memberi kerjasama rapat serta mempercepat proses di kementerian berkenaan.
Mesyuarat itu turut disertai wakil Yayasan Didik Negara dan Jabatan Pendidikan negeri yang berkaitan bagi memastikan projek berjalan lancar serta mematuhi garis panduan teknikal. – Bernama