• 2025-07-16 08:58 PM

KUCHING: Kerajaan Persekutuan perlu menggubal undang-undang bagi mengharamkan penggunaan vape yang semakin membimbangkan, terutamanya apabila ia disalahgunakan dengan campuran bahan terlarang seperti dadah sintetik.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, menekankan pentingnya penguatkuasaan dan kawalan dari sudut kesihatan awam bagi mengelakkan vape menjadi ancaman kepada masyarakat, khususnya generasi muda.

“Pada awal kemunculannya, vape dilihat sebagai alternatif yang baik kepada rokok namun dari semasa ke semasa ia berkembang dan disalahgunakan hingga menjadi alat untuk ketagihan serta berhalusinasi,“ katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Pemadam Negeri Sarawak berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) di sini.

Abdul Karim menambah kerajaan perlu menimbang dari sudut perundangan sama ada vape wajar diharamkan sepenuhnya atau hanya membenarkan penggunaan vape yang mengandungi nikotin, seakan rokok.

“Semuanya bergantung kepada keputusan tersebut, mungkin tidak wajar juga untuk mengharamkan vape secara total namun jika ia melibatkan bahan terlarang seperti ‘(magic) mushroom’ dan sebagainya, undang-undang yang tegas perlu diwujudkan,“ katanya.

Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022, Sarawak mencatatkan kadar penggunaan vape tertinggi di Malaysia dalam kalangan remaja berumur 13 hingga 17 tahun, dengan kadar prevalens sebanyak 20.3 peratus melibatkan 39,608 individu. – Bernama