ARAU: Kerajaan menyasarkan RM9 bilion dapat dijana daripada penjualan kayu getah terawat menerusi program tanam semula di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata RISDA telah mengambil langkah proaktif menerusi cadangan pelaksanaan program tanam getah berskala besar (TGBB) bagi mengurangkan kebun getah terbiar yang akan diuruskan oleh Syarikat RISDA Plantation Sdn Bhd.
“Ini diharapkan dapat mengurangkan keluasan kebun getah terbiar seluas 400,000 hektar di seluruh negara. RISDA perlu lebih agresif dalam membimbing usahawan di bawah agensinya dalam usaha meningkatkan sumber pendapatan pekebun kecil selain bergantung daripada sumber hasil getah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi RISDA Manndzri Nasib.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata RISDA sedang berusaha untuk memperbanyak pengeluaran lateks dalam negara kerana mahu menggantikan pengimportan lateks sebanyak RM6 bilion setahun terutamanya dari negara jiran.
“Pekebun kecil menghasilkan lebih 80 peratus hasil getah di negara ini manakala ladang getah yang dipunyai syarikat besar hanya menghasilkan kurang 20 peratus...dari segi lateks, dulu kita juga mengeluarkan lateks, kini kita jadi pengimport kepada lateks ini,” katanya.
Dalam pada itu, menurut kenyataan media dikeluarkan RISDA sempena majlis berkenaan, RISDA menyalurkan dividen tahun 2024 kepada 1,776 peserta Program Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) berjumlah RM10.99 juta dengan jumlah purata setiap penerima memperoleh RM5,061 per hektar.
“Nilai dividen ini meningkat 69 peratus berbanding jumlah tahun lalu yang bernilai RM6.49 juta. Ia merupakan cerminan kepada usaha proaktif KKDW dan RISDA dalam memastikan pulangan terbaik dinikmati oleh pekebun kecil,” menurut kenyataan itu.
RISDA turut memaklumkan RM3.7 juta diperuntukkan bagi program pembangunan RISDA Perlis tahun ini bagi memastikan pekebun kecil di negeri itu diperkasakan menerusi program pembangunan strategik yang dirangka.
Pada majlis itu juga empat masjid iaitu Masjid Al-Ikram Kampung Sena dari Parlimen Arau, Masjid Al-Munir Batu 5, Kuala Perlis (Parlimen Kangar), Masjid Al-Hakim Padang Malau (Parlimen Padang Besar) dan Masjid An-Nur UiTM Cawangan Perlis masing-masing menerima sumbangan RM3,000 daripada KKDW melalui RISDA.