PASIR MAS: Kerajaan akan menyegerakan peruntukan kewangan yang mencukupi untuk mengatasi masalah banjir di Rantau Panjang dekat sini, yang berpunca dari muara Sungai Golok, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata peruntukan itu bagi tujuan menggali dan membersihkan Sungai Golok dan penyelesaian untuk mengatasi masalah banjir di kawasan berkenaan juga telah dipersetujui oleh Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin kerana ia turut berlaku di kawasan selatan negara itu.

Masalah banjir di Rantau Panjang di sini dan Narathiwat, Thailand menurut Anwar adalah antara hal yang sudah tertangguh sejak sekian lama.

“Antara punca (banjir) adalah sungai (Sungai Golok) yang tidak diurus kerana tidak dibersihkan dan tidak dikorek di muara sungai kerana sebahagian tanah ialah milik Malaysia dan sebahagian lagi milik Thailand.

“Jadi, saya beritahu Perdana Menteri Thailand (Srettha), selagi tidak digali muara sungai itu, limpahan air akan terkesan di Kelantan dan di sekitar Narathiwat ... dan kita saksikan tahun demi tahun perkara ini berlarutan,“ kata beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas di sini hari ini, bersempena dengan lawatan kerja beliau ke Rantau Panjang dan Sungai Golok yang turut melibatkan pertemuan dengan Srettha.

- lagi