PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju secara prinsip untuk melaksanakan pengasingan penuh peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said telah membentangkan model-model pengasingan kepada Jemaah Menteri.
Jemaah Menteri memutuskan untuk melaksanakan cadangan pengasingan sepenuhnya dengan kedua-dua jawatan diwujudkan secara berasingan dan setara dalam Perlembagaan Persekutuan.
Keputusan ini diambil selepas meneliti laporan akhir dan hala tuju yang disediakan oleh Pasukan Petugas Khas Kajian Kompetitif dipengerusikan Datuk Seri Azalina.
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan berasingan memaklumkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan khususnya Perkara 145, Perkara 183 dan Perkara 42 akan digubal.
Pindaan ini bertujuan mewujudkan kedudukan Pendakwa Raya yang berkuasa sendiri.
Satu Rang Undang-Undang Pembaharuan Undang-Undang (Pendakwa Raya) turut akan digubal secara omnibus untuk meminda Kanun Tatacara Jenayah serta 18 akta lain yang berkaitan.
Sebuah akta baharu khusus mengenai saraan Peguam Negara dan Pendakwa Raya juga akan diwujudkan sebagaimana Akta Saraan Hakim 1971.
Jemaah Menteri turut bersetuju pelaksanaannya akan dibuat secara berfasa dengan beberapa penyesuaian pada struktur dan prosedur sedia ada.
Pasukan Petugas Khas Teknikal diterajui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri bersama Jabatan Peguam Negara akan memperincikan semua aspek pelaksanaan.
Penglibatan Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan serta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam turut disertakan.
Syor lengkap hasil perincian itu akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan supaya pindaan yang diperlukan dapat dilaksanakan.
Pelaksanaan pengasingan dapat dijalankan dengan sewajarnya selaras dengan Perlembagaan serta undang-undang sedia ada.
Langkah ini merupakan reformasi institusi perundangan yang holistik dan signifikan di bawah kerangka Kerajaan MADANI.
Ia bertujuan mengukuhkan tadbir urus, memperkasakan kedaulatan undang-undang dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara. – Bernama