• 2025-09-29 03:04 PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang mengenakan caj ke atas kenderaan persendirian memasuki kawasan bandar yang dikatakan sesuai sebagai antara langkah untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berpandangan langkah itu belum sesuai dilaksanakan dalam masa terdekat kerana infrastruktur pengangkutan awam yang menyeluruh masih dalam proses pembangunan.

“Sesetengah negara, untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, telah mengenakan bayaran-bayaran untuk kenderaan lain masuk ke kota.

“Kita tidak mencadangkan begitu kerana buat sementara ini, kita rasa mungkin membebankan,” katanya ketika berucap bersempena perasmian Terminal Bersepadu Gombak (TBG) di sini hari ini.

Anwar berkata tumpuan utama kini ialah membangunkan rangkaian pengangkutan awam yang menyeluruh, bersepadu dan mesra rakyat selaras dengan prinsip Malaysia MADANI.

Perdana Menteri berkata penyediaan kemudahan seperti TBG bukan hanya bersifat fizikal tetapi merupakan sebahagian daripada pendekatan menyeluruh dalam usaha menyediakan kemudahan pelbagai guna untuk rakyat.

“Saudara-saudari tahu bahawa projek ini telah tertangguh begitu lama dan kini sudah siap... kita sudah menanggung kerugian beberapa tahun... oleh itu, seluruh jentera kerajaan dan pekerja di peringkat ini harus mempercepatkan langkah supaya dapat mempercepat penggunaan kemudahan rakyat.

“Ini maknanya dari segi kerangka kita dalam negara MADANI, (kita perlu) memperkasakan struktur dan ketersediaan yang perlu sambil memberi tumpuan semasa tetapi tidak terlepas daripada memastikan manfaatnya kepada rakyat terbanyak.

“Kemudahan itu agak menyeluruh... ia tidak dipusatkan sepertimana yang lalu... sekarang kita selaraskan. Bagaimana (kita) boleh jadikan stesen-stesen besar seperti ini memberikan kemudahan yang pelbagai kepada rakyat,” katanya.

TBG, yang beroperasi 24 jam sebagai pusat transit untuk perjalanan ke seluruh Semenanjung, Singapura dan Hatyai di Thailand, mampu menampung hingga 1,500 perjalanan bas serta 52,000 pengguna harian.

la mempunyai tujuh tingkat dengan lebih 140 lot sewaan termasuk dewan perkahwinan, pusat sukan dan 1,200 petak parkir kereta.

Mengulas keluhan orang ramai mengenai kos pengangkutan awam, Perdana Menteri berkata kemudahan baharu sememangnya memerlukan perbelanjaan penyelenggaraan yang tinggi.

Beliau berkata rakyat perlu melihat keseluruhan perbandingan kos termasuk petrol, tol dan parkir berbanding hanya mengambil kira penggunaan pengangkutan awam sahaja.

“Kos penggunaan agak sedikit tinggi kerana kemudahan itu agak baharu, canggih dan infrastruktur itu menyebabkan kos, terutama kos penyelenggaraan, dijangka meningkat,” katanya.

Anwar turut mengingatkan betapa pentingnya perubahan budaya sivik dalam kalangan rakyat agar kemudahan yang disediakan tidak rosak akibat sikap tidak bertanggungjawab.

“Kalau budaya kita ini terikat dengan cara lama, buang sampah sesuka hati... ia akan membebankan, maknanya perubahan sikap mesti ada.

“Mulakan dengan nasihat, mendidik budaya, program kesedaran tetapi ada masanya, mesti ada tindakan dan hukuman,” katanya - Bernama