PUTRAJAYA: Kerajaan akan memberikan keutamaan kepada usaha melahirkan bakat baharu berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi terkini menerusi Belanjawan 2026, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata tumpuan akan diberikan khususnya kepada bidang kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor huluan, yang kini menjadi keperluan mendesak industri berteknologi tinggi.
“Ini merupakan antara keutamaan kita (kerajaan) dalam belanjawan kali ini (Belanjawan 2026) bulan depan insya-Allah.
“Kita terpaksa melihat semula tentang pencapaian dan apa yang diperlukan untuk memberikan dukungan, agar dipercepatkan dengan kadar yang lebih pantas lagi (tentang) program latihan dan kesejahteraan yang diperlukan, untuk mengangkat martabat dan keupayaan anak-anak kita,” katanya berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan (ICOSH) kali ke-9, di sini hari ini.
Anwar berkata usaha itu juga penting bagi menyokong pelaburan besar syarikat antarabangsa seperti Infineon Technologies yang melabur di Kulim dan Melaka, sekali gus memastikan Malaysia mampu menyediakan tenaga kerja mahir yang diperlukan.
“Ini memerlukan tenaga muda yang terlatih tentunya dalam bidang kejuruteraan dan AI,” kata beliau.
Anwar berkata usaha itu akan dilakukan menerusi penambahan peruntukan bagi mempercepat program latihan dan pembangunan kemahiran bakat baharu dalam bidang AI, teknologi digital dan kejuruteraan.
“...dan antara bidang tinggi yang memerlukan agensi dan kementerian yang terkait, untuk menekankan keperluan melahirkan anak-anak yang cukup terlatih, dengan satu peningkatan dan keterampilan yang berupaya memenuhi keperluan daripada syarikat seumpama ini,” kata beliau.
Anwar berkata sinergi berkenaan tidak boleh hanya terikat kepada bidang akademik semata-mata, sebaliknya mesti diperkukuh dengan kerjasama rapat antara universiti dan industri.
Perdana Menteri turut menekankan keperluan pendekatan baharu yang lebih pantas, dalam proses kelulusan program dan peruntukan di institusi pendidikan tinggi (IPT) bagi menggantikan kaedah lama yang terikat dengan karenah birokrasi.
“Saya masih ingat satu cabaran kepada saudara Zambry (Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir), ketika saya usulkan lebih dua tahun lepas supaya Fakulti AI segera diasaskan dengan memenuhi keperluan terbaharu, yang lazimnya universiti juga terikat (karenah birokrasi) dan perlu tunggu enam bulan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menzahirkan penghargaan kepada pihak universiti dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kerana mempercepat penubuhan Fakulti AI, sekali gus memecahkan halangan birokrasi yang sebelum ini melambatkan proses kelulusan program baharu di IPT.