• 2025-08-18 07:35 PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan yakin penubuhan Suruhanjaya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan mewujudkan ekosistem TVET yang lebih sistematik, berfokus dan responsif terhadap keperluan industri.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penubuhan suruhanjaya itu juga dapat mengoptimumkan penggunaan sumber dengan mengelakkan sebarang pembaziran serta pertindihan fungsi antara kementerian dan institusi berkaitan TVET.

“Dalam pembentangan RMK13 (Rancangan Malaysia Ke-13), Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) menyatakan untuk memperkukuh pelaksanaan Dasar TVET Negara 2030 melalui penubuhan Suruhanjaya TVET.

“Ia sebagai entiti khusus untuk mengawal selia institusi TVET, memantau pelaksanaan strategi dan inisiatif serta memastikan penyelarasan merentasi semua kementerian telah pun siap diatur,” katanya ketika menggulung perbahasan RMK13 bagi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab pencelahan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) mengenai penglibatan belia Tionghua dalam bidang TVET, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersetuju bahawa aspek promosi, penyampaian maklumat serta akses kepada proses permohonan dan penawaran kursus perlu dipertingkatkan.

Beliau turut memuji usaha Lee yang merupakan graduan TVET, atas komitmennya dalam menggalakkan pelajar sekolah menengah dan lepasan sekolah untuk menceburi bidang itu.

“Kerjasama dengan beliau sekarang ini turut menggamit penyertaan pelajar keturunan Cina untuk masuk TVET dan beliau menjadi pemangkin untuk mengajak pelajar Cina masuk dalam TVET dan ini satu kejayaan kepada Majlis TVET atas usaha dilakukan oleh beliau,” katanya.

Mengenai cadangan pindaan dan penambahbaikan Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1960 (Akta 530) susulan isu berkaitan pewarisan tanah Felda, Ahmad Zahid berkata kerajaan telah memulakan proses semakan dan pindaan akta itu sejak September 2022 menerusi mesyuarat penyelarasan diikuti mesyuarat jawatankuasa teknikal, bengkel serta empat sesi libat urus bersama pihak berkepentingan pada 2024.

Susulan itu, lima hala tuju utama diberi keutamaan dalam pindaan Akta 530 merangkumi sumbangan kepada dasar negara, perlindungan kepentingan pemilikan tanah GSA, pemantapan tadbir urus, pemenuhan keperluan generasi baharu Felda serta pemerkasaan akta agar kekal relevan pada masa ini dan masa hadapan.

“Pihak kerajaan melalui Bahagian Kawal Selia Felda Jabatan Perdana Menteri dan Felda sendiri sangat komited dalam usaha menangani pelbagai isu kawasan penempatan berkelompok atau GSA termasuk berkaitan pemilikan rumah generasi kedua dan ketiga Felda.

“Insya-Allah dalam masa terdekat kita akan selesaikan dan saya sendiri akan ke Felda Jengka pada 6 Sept nanti untuk menangani sebahagian daripada permasalahan itu,” katanya - BERNAMA