KUALA LUMPUR: Kerjasama antara ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) merupakan peluang berharga untuk memperkukuh hubungan antara Asia Tenggara dan Timur Tengah dalam usaha bersama ke arah keamanan, kemakmuran dan kemajuan, kata Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Enrique A. Manalo.
Dalam ucapan pembukaannya pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN-GCC, Enrique menekankan potensi strategik kedua-dua blok serantau itu, dengan menyatakan bahawa ASEAN mempunyai gabungan populasi melebihi 700 juta dan menyumbang secara signifikan kepada ekonomi global menerusi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kolektifnya.
Beliau turut menyuarakan keyakinan terhadap dialog yang sedang berlangsung dan berkata ASEAN menantikan perbincangan yang produktif serta hasil yang konkrit daripada mesyuarat ini.
“Kita kenang kembali penganjuran bersejarah Sidang Kemuncak ASEAN-GCC yang pertama di Riyadh pada Oktober 2023, di mana para pemimpin kita mengeluarkan kenyataan bersama yang menjadi asas kepada usaha mempertingkat dan memperluas kerjasama ASEAN-GCC.
“Pada sidang itu juga, para pemimpin menyambut baik Kerangka Kerjasama ASEAN-GCC 2024 - 2028 yang menggariskan langkah-langkah konkrit dan aktiviti bersama untuk memperdalam kerjasama dan memberi manfaat nyata kepada rakyat,” katanya.
Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN-GCC hari ini yang dipengerusikan oleh Filipina merupakan sebahagian daripada siri mesyuarat yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
Sembilan menteri luar dari negara anggota ASEAN (kecuali Myanmar) dan enam negara GCC - Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) - menyertai mesyuarat itu.
Manalo turut menyoroti Visi Komuniti ASEAN 2045 yang akan diterima pakai oleh para pemimpin rantau ini esok sebagai satu kenyataan berani tentang cita-cita bersama untuk membina ASEAN yang lebih berpaksikan rakyat dan berpandangan jauh dalam tempoh dua dekad akan datang.
“Rantau ini mencatatkan pertumbuhan KDNK sebanyak 4.8 peratus dan dijangka mencapai 4.7 peratus tahun ini. Namun, perkembangan luar terkini termasuk pengenalan tarif unilateral oleh Amerika Syarikat telah menimbulkan kebimbangan besar.
“Sebagai tindak balas kepada cabaran ini, ASEAN mengamalkan pendekatan yang mengutamakan dialog membina dan menegakkan sistem perdagangan pelbagai hala yang berasaskan peraturan,” katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Mesyuarat Berkaitannya yang berlangsung di bawah Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, dijangka membincangkan pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang mendesak, termasuk hal ehwal politik dan keselamatan.
Tahun ini merupakan kali kelima Malaysia mempengerusikan blok serantau itu selepas tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Sempena sidang kemuncak ini, dua mesyuarat peringkat tinggi penting turut diadakan - Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Kedua dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung kali diadakan - sebagai platform strategik untuk memperkukuh kerjasama serantau dan antara rantau.