MIRI: Jalinan kerjasama erat antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) merupakan kuasa politik yang disegani serta dihormati.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pelantikan anak Sarawak, Datuk Seri Fadillah Yusof, sebagai Timbalan Perdana Menteri serta kehadiran beberapa menteri dari negeri ini di peringkat Persekutuan merupakan satu pengiktirafan besar kepada Sarawak.
“Anak Sarawak tidak pernah diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Perdana Menteri sebelum ini. Ini membuktikan bahawa Sarawak di bawah platform GPS adalah kuasa politik yang dihormati,“ katanya ketika berucap pada Perhimpunan Sambutan Perayaan Hari Sarawak Ke-62.
Sebagai Ketua Kerajaan GPS, beliau menegaskan kerjasama erat yang terjalin dengan Kerajaan Persekutuan akan diteruskan demi kepentingan bersama negara dan Sarawak.
Beliau juga yakin bahawa perjuangan memakmurkan negeri ini tidak menjejaskan usaha membangunkan negara.
“Pertambahan hasil Sarawak, termasuk menerusi cukai jualan negeri, tidak akan mengurangkan pendapatan negara kerana Kerajaan Persekutuan mempunyai ruang yang luas untuk menambah hasil tanpa membebankan rakyat,“ katanya.
Abang Johari turut membidas dakwaan pihak tertentu yang menyifatkan Sarawak sebagai keterlaluan atau tamak dalam menuntut haknya, sambil menegaskan bahawa semua tuntutan adalah berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Sarawak sudah berjaya mendapatkan kembali sembilan hak yang termaktub di bawah MA63, dan usaha akan diteruskan bagi memastikan semua hak yang terhakis dapat dikembalikan,“ katanya.
Beliau turut mengimbas keputusan penting yang dibuat oleh pemimpin Sarawak 62 tahun lalu untuk menyertai pembentukan Malaysia demi keselamatan dan kemakmuran yang lebih terjamin.
Menurutnya, Sarawak kini menyumbang hampir 10 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menjadikannya antara penyumbang tertinggi dalam kalangan negeri-negeri di Malaysia.
Bank Dunia turut mengiktiraf Sarawak sebagai kawasan berpendapatan tinggi untuk tiga tahun berturut-turut bermula 2022, berdasarkan Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita sebanyak RM73,100 pada 2024, melepasi nilai ambang RM63,800 yang ditetapkan.
“Status ini meletakkan Sarawak di kedudukan keempat selepas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan serta Pulau Pinang, sekali gus mengatasi Selangor,“ katanya.
Abang Johari turut mengingatkan rakyat supaya tidak melupakan nilai murni dan warisan budaya yang menjadi asas perpaduan negeri ini.
Majlis itu turut dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Tun Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi serta barisan menteri Kabinet Sarawak. - Bernama