JOHOR BAHRU: Jumlah kerugian pekebun nanas akibat ketidaktentuan cuaca dan bencana alam di negara ini menunjukkan pengurangan daripada RM7 juta pada 2021 kepada RM1.02 juta pada tahun lepas.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Arthur Joseph Kurup berkata perkara itu, antara lain didorong oleh hasil kajian, pembangunan infrastruktur dan inovasi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).
“Sebagai contoh pada tahun 2021, nilai kerugian dicatatkan sebanyak RM7 juta, selepas itu menurun kepada RM2 juta pada 2022, RM1.8 juta pada 2023 dan RM1.02 juta tahun lepas,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Industri Nanas Antarabangsa 2025, di sini hari ini.
Arthur berkata ketahanan varieti serta pengumpulan analisis data turut meningkatkan kecekapan penanaman nanas.
Terdahulu dalam ucapannya beliau meminta LPNM untuk terus proaktif meneroka pendekatan baharu dan mengadaptasi cabaran bencana alam, bagi melindungi pendapatan pekebun serta menjamin bekalan nanas berkualiti untuk pasaran.
Beliau berkata ini termasuk kaedah pencegahan dan mitigasi awal, seperti sistem pengairan dan pembentungan cekap serta pembangunan data yang menyeluruh, pengadaptasian teknologi digital, Internet benda (loT), selain pengunaan dron serta solar.
Seminar anjuran kerjasama LPNM bersama KPKM dan Persatuan Alumni Universiti Putra Malaysia itu disertai kira-kira 400 peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk pemegang taruh industri nanas dan pengusaha ladang sebagai medan perkongsian ilmu dan membincangkan penyelesaian cabaran pelbagai isu.