PUTRAJAYA: Sehingga kini, pihak berkuasa tidak mengetahui keberadaan bekas Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Casey Tang Keng Chee, yang didakwa mengalihkan dana 1MDB sebanyak USD1 bilion kepada pihak ketiga.
Bekas pegawai penyiasat kes itu R. Rajagopal berkata dana yang hilang sepatutnya didepositkan ke dalam akaun usaha sama 1MDB-PSI namun hanya USD300 juta dipindahkan ke akaun berkenaan manakala USD700 juta dialih ke akaun syarikat Good Star Limited milik ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, juga dikenali sebagai Jho Low.
Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman itu memberi keterangan sebagai saksi pembelaan ke-13 pada perbicaraan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes penyelewengan dana 1MDB sebanyak RM2.3 bilion.
Rajagopal memaklumkan mahkamah bahawa beliau telah merekodkan kenyataan Tang pada Jun 2016 di Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok.
Beliau berkata Tang, yang juga sekutu Jho Low, ketika itu ditemani oleh peguamnya Selva Mookiah.
Ketika disoal oleh peguam utama Najib iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Rajagopal mengesahkan bahawa pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia gagal mengesan Tang bagi menghadiri perbicaraan kes itu.
“Kami telah melakukan segala usaha untuk mengesan Casey Tang. Notis merah telah dikeluarkan terhadap beliau pada 2018 dan 2019 namun kami masih gagal menahannya,” kata saksi itu.
Pada 30 Okt tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib membela diri selepas memutuskan pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap beliau.
Najib, 71, berdepan 25 pertuduhan termasuk empat bagi menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan sebanyak RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.
Perbicaraan bersambung esok.