KUALA LUMPUR: Polis menerima tiga laporan berhubung kes pergelutan antara anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan seorang penjaja belon di kawasan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini, yang tular baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azry Akmar Ayob berkata laporan polis pertama dibuat seorang anggota penguat kuasa DBKL semalam dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Beliau berkata laporan kedua juga dibuat seorang lagi anggota penguat kuasa DBKL, pada hari sama atas penyebaran gambar pengadu laporan pertama yang dimuat naik di aplikasi Facebook berserta ugutan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan/Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan hari ini.

DBKL dalam kenyataan sebelum ini berkata insiden itu berlaku susulan penjaja berkenaan enggan memberi kerjasama mematuhi arahan penguat kuasa selain didakwa bertindak agresif terhadap anggota bertugas.

Azry Akmar berkata laporan ketiga dibuat ibu kepada penjaja belon yang menyatakan bahawa anaknya itu telah mengalami kecederaan akibat pergelutan yang berlaku dan pihaknya telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan menyarankan mereka yang mempunyai sebarang maklumat menyalurkannya dengan menghubungi talian Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan.